PARIS SAINT-GERMAIN 4 SAINT-ETIENNE 0

Jaringan daripada Julian Draxler, Edinson Cavani, Angel Di Maria dan Moussa Diaby membolehkan Paris Saint-Germain (PSG) meneruskan permulaan cemerlang dalam saingan Ligue 1 musim ini selepas membelasah Saint-Etienne 4-0, awal pagi tadi.

Neymar direhatkan menjelang kunjungan Liga Juara-Juara Eropah ke Liverpool sambil Kylian Mbappe sedang melalui penggantungan tiga perlawanan susulan layangan kad merah sewaktu berdepan Nimes, sebelum ini.

Saint-Etienne melepaskan peluang awal di Parc Des Princes dan tandukan daripada Julian Draxler memberikan juara bertahan Ligue 1 itu pendahuluan pada minit ke-22.

Cavani menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua perlawanan sambil rembatan Di Maria terus menjarakkan kedudukan, sebelum pemain muda, Diaby, meraih jaringan pertama di pentas Ligue 1 pada minit ke-84.

Pengurus PSG, Thomas Tuchel, kini memenangi enam perlawanan kompetitif pertama buatnya, sekaligus mengatasi rekod kelab yang dipegang Carlo Ancelotti.

Lois Diony mempersiakan peluang keemasan buat pelawan pada minit ke-13 yag hadir menerusi hantaran lintang Yannis Salibur, sebelum tandukan Loic Perrin hasil sepakan sudut Wahbi Khazri sekadar tersasar.

Adrien Rabiot memenangi perebutan bola di tengah padang dan hantaran lambung Marco Verratti ke dalam kotak penalti dikawal dengan kepala oleh Draxler, sebelum disudahkan dengan tandukan melepasi Stephane Ruffier.

PSG menggandakan kelebihan selepas enam minit aksi babak kedua bersambung apabila Cavani menjaringkan gol peribadi ke-12 ke atas Saint-Etienne menerusi sepakan penalti.

Halangan kasar daripada kapten Saint-Etienne, Perrin, telah menjatuhkan penyerang tersebut, sebelum Cavani mudah memperdayakan Ruffier untuk kedudukan 2-0.

Jaringan Timothee Kolodziejczak dibatalkan akibat ofsaid tetapi PSG menambah gol ketiga pada minit ke-76, kali ini menerusi rembatan jarak dekat Di Maria, sebelum pemain gantian, Diaby, melengkapkan kemenangan pasukannya dengan jaringan keempat.