Berita  | Sukan

PSG lawan Barcelona dalam perpindahan pemain bulan Januari

PSG lawan Barcelona dalam perpindahan pemain bulan Januari
De Jong, Coutinho dan Mbappe menjadi perbualan hangat perpindahan Januari tahun ini. - REUTERS
KELAB kaya Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) bukan sahaja bertarung dengan Barcelona di padang, tetapi juga bersaing rapat dalam pasaran pemain.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, terdapat laporan yang menyebut kedua-dua kelab itu sedang bersaing untuk mendapatkan bintang Ajax, Frenkie De Jong.

Difahamkan khabar angin bertiup kencang bahawa Barcelona sudah mencapai persetujuan dengan De Jong, untuk pemain tengah itu berhijrah ke Sepanyol.
Bagaimanapun terdapat juga berita bahawa PSG sedang cuba untuk ‘mencuri’ pemain tersebut daripada genggaman Barcelona.

Pemain yang diangkat sebagai pengganti kepada Sergio Busquet itu dikatakan tidak tertarik dengan tawaran PSG, seperti laporan Francesc Aguilar dari akhbar Sepanyol, Deportivo Mundo.

Selain itu, PSG juga dilaporkan mahu mendapatkan pemain tengah Barcelona, Philippe Coutinho untuk menggandingkan semula Neymar dengan rakannya dari Brazil itu.

Kehadiran Coutinho diharap mengekalkan Neymar di kelab itu selepas terdapat beberapa laporan yang menyatakan bintang Brazil itu mahu kembali ke Barcelona.

Barcelona dilaporkan akan melepaskan Coutinho jika ditukar dengan pemain bintang PSG, Kylian Mbappe.

Bagaimanapun nilai pasaran pemain itu tidak sama, di mana PSG meletakkan tanda harga 250 juta Euro (RM1.17 bilion) untuk Mbappe, manakala Coutinho hanya bernilai 100 juta Euro (RM496.6 juta). 

Coutinho juga dikhabarkan sasaran utama Manchester United, selepas bekas pemain Liverpool itu kecewa kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama kepada Arturo Vidal, Arthur dan Ousmane Dembele.

Tag: Paris Saint-Germain, PSG, Barcelona, January Transfer, Frenkie De Jong, Francesc Aguilar, Kylian Mbappe


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.