Tutup

Berita  | Sukan

Pulau Langkawi, Pulau Pinang, destinasi impian pelumba MotoGP

Pulau Langkawi, Pulau Pinang, destinasi impian pelumba MotoGP
Pulau Langkawi di Kedah dan Pulau Pinang, dua destinasi paling popular.
KUALA LUMPUR: Pulau Langkawi di Kedah dan Pulau Pinang, dua destinasi paling popular yang disebut-sebut pelumba MotoGP, menjadi lokasi impian yang ingin mereka kunjungi di Malaysia.

Kesemua penunggang telah ditanya mengenai apa yang mereka tahu tentang Malaysia, selain Litar Antarabangsa Sepang (SIC), lokasi mereka berlumba dan melakukan ujian semasa musim sejuk.

Kebanyakan penunggang tahu, Pulau Langkawi adalah destinasi pantai Malaysia yang terkenal.

Pulau Pinang pula kata mereka, adalah sebuah pulau dan sebahagian tanah besar Semenanjung Malaysia di utara Kuala Lumpur, yang terkenal dengan bandar Georgetown yang bersejarah dan resort Pantai Batu Ferringhi yang menjadi tempat penginapan popular.
Bagaimanapun, disebabkan jadual yang ketat, kesemua penunggang tersebut tidak pernah mengunjungi kedua-dua destinasi popular berkenaan, walaupun mereka sering datang ke Malaysia.

Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli yang kebiasaannya menghabiskan sebahagian besar waktunya di Malaysia bersama pasukannya, berharap beliau akan berpeluang melawat pulau itu suatu hari nanti.
"Saya tahu mengenai Langkawi daripada Razlan (Ketua Pasukan Petronas SRT Datuk Razlan Razali) yang menyertai Ironman, beliau memberitahu saya bahawa pulau itu sangat menarik dan saya berharap untuk berada di sana suatu hari nanti," katanya pada sesi bertemu dan bermesra di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang.

Sementara itu, penunggang Moto3, John McPhee (Petronas SRT) dan Can Oncu dari Red Bull KTM Ajo memilih Pulau Pinang sebagai destinasi impian, jika mereka mempunyai peluang untuk menghabiskan masa di Malaysia.

"Saya suka Pulau Pinang, saya tidak pernah ke sana tetapi mendengar ramai orang bercakap mengenainya," kata warga Scotland itu.

Brad Binder dari Red Bull KTM Ajo yang kini berada dalam kedudukan kejuaraan ketiga, tahu bahawa Menara Berkembar, adalah salah satu bangunan ikonik di Kuala Lumpur.

Pelumba Malaysia, Khairul Idham Pawi pula berkata beliau tidak pernah ke Pulau Langkawi, manakala Adam Norrodin tidak pernah ke Pulau Pangkor.

SIC akan menjadi tuan rumah pusingan ke-18 Grand Prix (GP) MotoGP Malaysia, yang bermula pada 1 hingga 3 Nov ini.

-- BERNAMA


Tag: pulau langkawi, pulau pinang, pelancongann, pelumba motosikal, motogp, grand prix



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.