Pulau Pinang dan Melaka mencipta sejarah apabila buat pertama kali meraih emas pada Sukma Ke-18 di Stadium Hoki Sarawak di sini hari ini.

Pulau Pinang menang emas bagi acara lelaki dengan mengalahkan Perlis 2-1, walaupun Perlis mendahului jaringan pada minit ke-12 menerusi Muhammad Najmi Farizal.

Namun pasangan adik dan abang Mohamad Rozaini Baharom dan Mohamad Rohimi Iskandar masing-masing bangkit menjaringkan gol untuk Pulau Pinang pada minit ke-35 dan ke-55.

"Kami banyak menang gangsa sejak lima tahun lalu. Jadi pemain kami berazam untuk menang emas, lalu mereka berlatih dengan gigih. "Kami turut membawa mereka untuk latihan singkat di Perth (Australia) sehingga membuktikan mereka layak ke final (di Sukma)," kata jurulatih Pulau Pinang, B. Rajendran atau lebih dikenali sebagai Bob Rajendran.

Pingat gangsa dimenangi Terengganu yang mengalahkan Wilayah Persekutuan 5-1.

Dalam kategori wanita, Melaka buat pertama kali turut merangkul emas setelah mengalahkan pasukan pilihan Selangor 2-1.

Ketua pasukan Nur Aisyah Yaacob membuka jaringan untuk Melaka pada minit ke-14 sementara Ellya Syahira Ellias menyamai jaringan buat Selangor pada minit ke-24.

Namun Nur Aisyah memberi kemenangan buat Melaka 10 minit kemudian. Pingat gangsa dimenangi Wilayah Persekutuan apabila membelasah Terengganu 4-0.