Bukan senang nak melahirkan juara dunia.

Sepuluh tahun keluarga pemain tenpin boling negara, Rafiq Ismail menanggung sepenuhnya keperluan anak mereka itu untuk berjaya di peringkat antarabangsa dalam sukan yang diminati.

Menurut bapanya, Ismail Nimat, Rafiq mula bermain boling sejak usia empat tahun, sebelum berjaya memenangi kejohanan pertamanya pada usia 14 tahun.

Bermula dari kejayaan itu, Rafiq mula mencapai kejayaan demi kejayaan dan seterusnya mendapat status pemain profesional daripada Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA) pada 2017.

Bagi Ismail, sokongan padu dan usaha daripada Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) dan jurulatihnya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) merupakan resepi kejayaan Rafiq di peringkat dunia.

“Bukan setakat sumbangan daripada Rafiq sahaja, ia menyeluruh, sumbangan daripada MSN, ISN memang memberi kesan. Untuk pencapaian bagi atlet-atlet yang berjaya di peringkat antarabangsa memang memerlukan perhatian yang serius baik di pihak kerajaan ataupun di peringkat pemain-pemain itu sendiri.” kata Ismail.

Di sana, Rafiq akan mendapat bantuan daripada jurulatih yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

http://www.astroawani.com/berita-sukan/rafiq-akan-ke-tanpa-jurulatih-dan-pengurus-pasukan-196424

Kejayaan memenangi Anugerah Jagoan Nadi Arena 2018 (AJNA) diharap dapat membantu Rafiq mendapat lebih banyak tajaan untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa sekali gus mengharumkan nama negara.

Tahun lepas, Rafiq berjaya membawa pulang emas bagi acara Master Lelaki dan Trio Lelaki Sukan Asia di Indonesia selain menamatkan penantian 39 tahun untuk gelaran juara dunia selepas kejayaannya memenangi emas di Hong Kong.

Malah pada usia 21 tahun, Rafiq mengatasi pemenang emas 2014, Dan MacLelland dari Kanada untuk memastikan kejayaan akhirnya menjadi milik pemain Malaysia.