HUJUNG minggu lepas, Ian Iman, 10 tahun, berjaya memenangi kejohanan papan selaju Fourty Five Skatepark di Semenyih.

Namun ini bukan kali pertama, Ian yang akan mencecah usia 11 tahun Julai tahun ini memenangi kejohanan papan selaju dengan mengalahkan pemain-pemain yang lebih berpengalaman malah ada status atlet elit.

Bulan lepas, Ian menjuarai kategori senior Adrenalin Fest anjuran Perbadanan Putrajaya, di mana kejohanan papan selaju dikendalikan Skateboarding Development Malaysia (SDM).

Kelebihan pada Ian pada kejohanan Fourty Five Skatepark anjuran SDM Sabtu lepas adalah pesaing terdekatnya, Fikri Fauzi dan Gjoy Azizul terjatuh atau tidak berjaya menyempurnakan kesemua trik mereka pada final.

Bagi Ian, dia turun ke kejohanan tanpa mengharapkan apa-apa kemenangan malah bersyukur dapat menyertai sesebuah kejohanan dan hanya untuk beriadah.

Dia juga menulis pada sebuah kertas semua trik atau ‘stunt’ yang boleh dilakukannya dengan konsisten untuk dimainkan dalam setiap saringan atau ‘run’.

Aksi konsisten

Setiap hari dia berlatih, Ian memastikan dia berjaya menyempurnakan setiap trik sepuluh kali berturut-turut untuk mengesahkan dia mampu melakukannya dengan konsisten.

Pada peringkat kejohanan kebangsaan ini juga, Ian tidak berasa begitu gentar kerana dia berlatih setiap hari dengan hampir kesemua pemain yang menyertai kejohanan bersama-samanya.

Ian dan adiknya, Finn 7 tahun, didedahkan kepada papan selaju oleh bapanya, Nuriman Amri Abdul Manap, yang merupakan seorang pemain veteran dalam sukan ini.



Ian mula bermain sejak usia empat tahun dan berlatih setiap di Kompleks Sukan Bukit Kiara.

Fourty Five Skatepark merupakan sebuah gelanggang papan selaju yang baharu dibuka untuk umum tahun ini.

Kejohanan Fourty Five Skatepark dianjurkan SDM, sebuah badan swasta yang membangunkan sukan papan selaju secara bebas tanpa bantuan badan tadbir bertanggungjawab dalam sukan itu.

Malah SDM lebih banyak menganjurkan kejohanan melibatkan komuniti di beberapa negeri di Malaysia berbanding persatuan sukan ekstrem yang sudah wujud lebih lapan tahun di negara ini.