Jurulatih negara Datuk K. Rajagobal kecewa dengan persembahan sebahagian besar pemain bimbingannya pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong yang menyaksikan mereka terikat
1-1 di Stadium Shah Alam semalam.

Skuad Harimau Malaya terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-58 menerusi Safee Sali sebelum Hong Kong menyamakan kedudukan pada minit ke-88 menerusi pemain gantian Lam Hok Hei.

Rajagobal berkata pasukan negara nyata gagal menandingi tempo permainan yang lebih agresif dan laju yang dipamerkan oleh pemain pasukan pelawat.

"Saya kecewa dengan sebahagian pemain malam ini yang mana mereka tidak bermain pada tahap sebenar mereka namun kini saya nampak karakter beberapa pemain dalam skuad saya," kata Rajagobal.

"Kita gagal mengekalkan rentak menyerang selepas mendapat gol pertama dan saya lihat bahagian tengah skuad kebangsaan kerap kehilangan bola dan membuat hantaran yang tidak tepat."

Nada sama turut diluahkan oleh Safee yang menyifatkan keputusan seri pada perlawanan itu adalah mengecewakan namun beliau tidak mahu menyalahkan rakan sepasukannya.

"Walaupun saya menjaringkan gol tetapi saya gagal membantu pasukan mencatatkan kemenangan dan bagi saya, setiap pemain termasuk saya gagal mempamerkan aksi terbaik masing-masing pada malam ini," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Hong Kong, Kim Pan Gon berkata pasukannya berpeluang untuk menang dengan persembahan menarik yang dipamerkan oleh anak buahnya d an mengganggap keputusan seri itu merupakan satu bonus kepada pasukan itu.

"Pasukan saya layak mendapat keputusan ini walaupun kami berpeluang untuk menang kerana kami bermain dengan cara yang lebih agresif dalam mendapatkan gol.

"Saya lihat pemain saya kelihatan lebih komited dan bermain dengan sebaik mungkin untuk menang," katanya.

Skuad Harimau Malaya bakal menamatkan aksi persahabatan menentang Bangladesh di stadium yang sama pada 20 Nov ini sebelum menentang Singapura dalam perlawanan pertama Piala AFF 25 Nov nanti.