Berita  | Sukan

Rajagobal tuntut pertimbangan wajar FMLLP

Rajagobal tuntut pertimbangan wajar FMLLP
RAJAGOBAL: Kami akan tetap berjuang habis-habisan. Kalau dipotong mata sekalipun, kami tetap akan berjuang. - Gambar fail
PENGENDALI PKNS FC, Datuk K Rajagobal, berharap Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) membuat pertimbangan sewajarnya sebelum mengambil sebarang tindakan ke atas pasukan Liga Super itu berhubung kelewatan menghantar dokumen pendaftaran pemain.

FMLLP menerusi kenyataannya semalam, menyenaraikan PKNS dan Selangor sebagai dua pasukan yang menghantar dokumen melepasi tarikh akhir pada 3 Februari lalu.

FMLLP akan menentukan keperluan tindakan terhadap skuad Semut Merah itu dalam mesyuarat lembaga pengarahnya, bulan depan.

"Pengurusan PKNS tahu apa yang perlu dilakukan, saya percaya situasi dalam keadaan yang baik.
"Saya harap pengurusan FMLLP membuat keputusan yang sewajarnya berkaitan aspek dokumen ini," kata bekas pengendali Harimau Malaya itu. 

Antara bentuk hukuman yang boleh diambil FMLLP ialah memotong mata pasukan yang lewat menghantar pendaftaran pemain.

Dalam masa sama, ketua pasukan kelab yang berpangkalan di Lembah Klang itu, Safee Sali, memberi jaminan dia dan rakan sepasukan tidak terkesan dengan isu berkenaan.

Tegasnya, sama ada FMLLP akan mengambil tindakan pemotongan mata atau tidak, pemain sentiasa fokus dengan tugasan mereka di atas padang.

"Kami akan tetap berjuang habis-habisan. Kalau dipotong mata sekalipun, kami tetap akan berjuang.

"Mana tahu kami boleh mengumpul lebih banyak mata berbanding mata yang dipotong itu.

"Apa-apa pun boleh berlaku dalam bola sepak," katanya.





Untuk lebih banyak lagi berita sukan dan video, klik di sini