CLAUDIO RANIERI berkata beliau berbangga untuk melepaskan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada rakan senegaranya, Antonio Conte selepas pengendali dari Itali itu membantu Chelsea meraih kejuaraan pada musim pertamanya di England.

Conte memulihkan status Chelsea sebagai juara pada Jumaat selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas West Brom, selepas The Blues mengakhiri saingan di tempat ke-10 pada musim 2015-16.

Kejayaan Chelsea menjadikan Conte pengendali kelahiran Itali yang keempat untuk menjuarai EPL, mengikuti jejak langkah Roberto Mancini, Carlo Ancelotti dan Ranieri, yang mencipta kejutan musim lalu dengan menjuarai liga bersama Leicester City sebelum dipecat pada Februari lalu.

"Saya berbangga untuk melepaskan takhta EPL kepada Conte, ia merupakan satu kebanggaan buat saya melihat seorang pengendali Itali memenanginya.

"Conte telah melakukan tugas ini dengan baik buat pasukan," kata Ranieri.

Chelsea menutup musim mereka dengan menerima kunjungan Watford dan Sunderland di Stamford Bridge sebelum berdepan Arsenal pada final Piala FA pada 27 Mei.