Berita  | Sukan

Rashid Salleh dilantik Presiden Persatuan MMA Malaysia

Rashid Salleh dilantik Presiden Persatuan MMA Malaysia
Selain Rashid Salleh, jawatankuasa MASMMAA turut menampilkan beberapa personaliti terkenal dalam seni mempertahankan diri. - Foto MASMMAA
KUALA LUMPUR: Pelakon dan personaliti TV, Rashid Salleh telah dilantik sebagai Presiden Persatuan Seni Mempertahankan Diri Campuran Malaysia (MASMMAA).

Perkara itu dimaklumkan oleh persatuan itu sendiri menerusi satu kenyataan media, pada Selasa.

Rashid dalam kenyataan tersebut memaklumkan, beliau memilih untuk terus memberikan tumpuan dan fokus kepada perkembangan sukan MMA melalui ONE Championship dengan satu matlamat iaitu Temasya Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Tanggungjawab saya sebagai Presiden MASMMAA adalah cukup jelas, saya ingin mewujudkan lebih banyak kesedaran selain membangunkan senario seni mempertahankan diri campuran di Malaysia.

“Pelan jangka panjang adalah untuk merealisasikan impian untuk melahirkan atlet negara bila MMA menjadi sebahagian daripada Olimpik 2028. Oleh itu, adalah sangat jelas bahawa MMA di Malaysia memerlukan pelan pembangunan bermula sekarang,” kata anak kelahiran Sarawak itu.
Jawatankuasa MASMMAA dilantik pada pertengahan Oktober lalu, di mana, selain Rashid Salleh, ia turut menampilkan beberapa personaliti terkenal dalam seni mempertahankan diri.

Ratu MMA negara, Ann Osman dilantik sebagai Naib Presiden, manakala tiga lagi atlet Malaysia dari ONE Championship dilantik sebagai pegawai kebajikan atlet iaitu Peter Davis, Agilan Thani and Saiful Merican.

Rashid, yang terkenal dalam sitkom tempatan 'Kopitiam' itu juga berkata, sejajar dengan matlamatnya, keselamatan atlet adalah keutamaan MASMMAA.

“MASMMAA ingin mewujudkan satu hubungan dengan semua promosi di seluruh negara supaya sejajar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

“Ia bagi membolehkan kelulusan promosi difahami dan sudah tentu, keselamatan dan kebajikan atlet terbabit turut ditangani bagi memastikan kelancaran acara MMA di Malaysia,” katanya.

Di Malaysia, terdapat beberapa promosi yang giat mengetengahkan sukan ini ke peringkat lebih tinggi seperti Ultimate Beatdown, Malaysia Full Contact Martial Arts, Golden Warriors Fight Championship, Malaysian Fight Fest, dan platfrom terbesar amatur negara, Malaysian Invasion Fighting Championship (MIMMA).

Rashid merupakan seorang peminat tegar MMA dan salah seorang ahli penting dalam MIMMA, selain menjadi hos serta penulis skrip kejohanan itu daripada 2013 hingga 2016.

Beliau turut mengakui walaupun mempunyai jumlah peminat yang semakin berkembang, sukan ini masih baharu untuk rakyat Malaysia.

Selain itu, Rashid juga bakal muncul dalam filem MMA pertama Malaysia, Sangkar, yang akan ditayangkan pada Mei tahun depan.

Filem yang dibintangi Remy Ishak dan Zul Ariffin, akan turut menampilkan atlet wanita muda MMA negara, Jihin Radzuan.