BEKAS Presiden UEFA, Michel Platini ditahan polis awal pagi Selasa di Paris, dipercayai bagi membantu siasatan isu rasuah berkaitan penganugerahan tuan rumah Piala Dunia 2022 kepada Qatar.

Akhbar-akhbar di Britain melaporkan Platini, 63 tahun, dibawa ke sebuah balai polis di Paris sebelum dibawa ke pejabat badan anti-rasuah Perancis.

Penganugerahan hak penganjuran Piala Dunia kepada Qatar pada 2022 dibayangi unsur rasuah apabila tersebarnya email bekas presiden FIFA Jack Warner, bahawa Qatar ‘membeli’ hak penganjuran tersebut.

Menurut laporan akhbar Perancis, Mediapart, Claude Gueant, yang merupakan orang kanan kepada bekas presiden negara itu, Nicolas Sarkozy turut disoal-siasat namun dibebaskan.

Platini digantung oleh FIFA daripada sebarang aktiviti bola sepak selama lapan tahun bermula 2015, selepas didapati bersalah menerima lebih dua juta Swiss Francs (RM7.96 juta) daripada Sepp Blatter, yang merupakan Presiden FIFA ketika itu.

Hukuman itu kemudian dikurangkan kepada empat tahun selepas siasatan dibuat pihak berkuasa Switzerland.

Penggantungan dikurangkan kepada dua tahun lagi apabila Platini membuat rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebelum pendakwa raya Switzerland mendapati beliau tidak bersalah dan bebas daripada sebarang hukuman tahun lepas.

Platini merupakan legenda bola sepak Perancis yang memenangi anugerah Ballon d’Or sebanyak tiga kali dan sebahagian daripada skuad Perancis yang memenangi Euro 1984.