Jika peminat bola sepak sering ditagih bagi memberi sokongan kepada pemain menjaringkan gol, begitu juga sukan permotoran, suntikan semangat daripada penyokong diperlukan untuk terus memecut hingga ke garisan penamat.

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, ini penting terutama kepada penunggang negara yang terdiri daripada Hafizh Syahrin, Zulfahmi Khairuddin, Khairul Idham Pawi dan Adam Noruddin.

“Jika penyokong bola sepak digelar pemain ke-12, dalam sukan permotoran, sokongan ini diperlukan bagi melonjakkan gear enam motosikal kepada gear ketujuh,” kata beliau menerusi satu temubual video.

Sebagai satu motivasi kepada penunggang negara dalam MotoGP saingan pertama, SIC akan mengadakan Majlis Tontonan Siaran Lansung perlumbaan itu di The Podium, Penchala, Ahad ini bermula dari jam 8 malam hingga 1 pagi Isnin.


Dalam saingan itu juga, Khairul Fahmi akan membuat kemunculan kembali manakala Hafizh Syahrin akan memulakan perlumbaan dalam MotoGP pertama kali di Losail International Circuit, Qatar.

Razlan juga akan ke Qatar untuk berjumpa dengan semua penunggang bagi memberikan kata-kata semangat sebelum perlumbaan bermula.


Bagi saingan pertama MotoGP 2018, SIC akan mengadakan tontonan secara langsung di The Podium, Penchala pada 18 Mac ini.

Bercakap mengenai potensi penunggang negara, beliau yakin penunggang negara akan memberi yang terbaik bagi musim MotoGP tahun ini.

“Bagi Khairul Fahmi, ini peluang keemasan beliau setelah diberi ruang untuk membuat kemunculan kembali. Saya telah mencabar beliau untuk menyaingi Khairul Idham sebagai penanda arasnya musim ini.

“Bagi Khairul Idham dan Adam Noordin, saya memang meletakkan sasaran yang tinggi kepada mereka berdua untuk melakukan lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini,” jelas beliau.

Musim MotoGP 2018, Hafizh Syahrin akan bersama pasukan Monster Yamaha Tech 3 (MotoGP), Zulfahmi Khairuddin bersama SIC Racing Team (Moto2), Khairul Idham Pawi bersama IDEMITSU Honda Team Asia (Moto2), dan Adam Noordin masih kekal di Moto3 bersama Petronas Sprinta Racing.

BACA: Hafizh Syahrin sah ke MotoGP

BACA: Zulfahmi perlu cabar Khairul Idham Pawi musim ini - Razlan

BACA: Hafizh sedia bantu Khairul Idham di Moto2