DANI Alves percaya Real Madrid adalah pasukan yang lebih berbahaya selepas menjual Cristiano Ronaldo kepada Juventus.

Pemenang Ballon d'Or lima kali dan penjaring terbanyak sepanjang zaman Real itu menyertai juara Serie A berkenaan dengan perpindahan bernilai EURO112 juta (RM541 juta) pada Julai lalu.

Tetapi Real telah meraih 10 mata daripada empat aksi pembukaan LaLiga di bawah kendalian Julen Lopetegui manakala gandingan Ronaldo sebelum ini, Gareth Bale dan Karim Benzema, memacu Los Blancos ke hadapan.

Bekas pertahanan Barcelona, Alves, yang bermain bersama Juventus ketika tewas dalam aksi final Liga Juara-Juara 2017 kepada Real sebelum berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG), berasakan Los Blancos musim ini menghadirkan lebih banyak ancaman.

"Saya berasakan Real lebih bersifat sepasukan tanpa Ronaldo," katanya.

"Real adalah pasukan yang memiliki ancaman lebih banyak jika dibandingkan sebelum ini di mana mereka terarah kepada Ronaldo.

"Bukan mudah untuk menewaskan Real. Walaupun ketiadaan Ronaldo adalah satu kehilangan, Real adalah Real."

Real akan memulakan kempen untuk mengejar gelaran Liga Juara-Juara (UCL) yang keempat berturut-turut berdepan Roma, awal pagi esok.