REAL MADRID bersiap sedia untuk memecahkan rekod dunia yuran perpindahan selepas bersetuju dengan perjanjian bernilai €180 juta (RM900 juta) untuk menandatangani Kylian Mbappe daripada Monaco, menurut satu laporan di Sepanyol.

Akhbar berpangkalan di Madrid, Marca, mendakwa juara LaLiga dan Liga Juara-Juara itu sudah bersetuju dengan satu perjanjian yang akan mengatasi rekod dunia yuran perpindahan €105 juta (RM525 juta) yang dibayar Manchester United kepada Juventus untuk menandatangani Paul Pogba tahun lalu.

Madrid dilaporkan akan membayar pendahuluan €160 juta (RM800 juta) dan tambahan €20 juta (RM100 juta) lagi berkaitan dengan kejayaan Mbappe di Santiago Bernabeu.

Penyerang antarabangsa Perancis itu dijangka menandatangani kontrak enam tahun yang akan menyaksikannya meraih pendapatan €7 juta (RM35 juta) setahun.

Monaco sebelumnya kelihatan bersungguh-sungguh mahu mengekalkan Mbappe di sebalik spekulasi yang mengaitkannya dengan pelbagai pasukan di Eropah.

Juara Ligue 1 itu itu turut mengancam untuk membabitkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana membuat hubungan tidak dibenarkan dengan penyerang itu sejak beberapa minggu kebelakangan.

Laporan akhbar itu menyebut pengurus Madrid, Zinedine Zidane, telah memberi lampu hijau untuk perpindahan itu selepas meluahkan kebimbangan terhadap kekurangan pilihan serangan selepas kelab itu menjual Alvaro Morata dan Mariano Diaz, masing-masing kepada Chelsea dan Lyon.

Mbappe menyumbat 26 gol dan melakukan 14 bantuan jaringan dalam semua pertandingan musim lalu sambil skuad bimbingan Leonardo Jardim itu menjuarai Ligue 1 di samping mara ke final Coupe de la Ligue dan separuh akhir Liga Juara-Juara.

Monaco telah kehilangan beberapa pemain bintang sejak akhir musim lalu, dengan Bernardo Silva dan Benjamin Mendy menyertai Manchester City manakala Tiemoue Bakayoko menandatangani untuk Chelsea.

Thomas Lemar telah dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal di samping Fabinho turut diura-urakan akan berpindah.

Monaco, bagaimanapun, enggan memberi maklum balas apabila dihubungi oleh Omnisport tapi dilaporkan telah menafikan perjanjian berkenaan.