REAL Madrid telah bersetuju dengan terma untuk mendapatkan penjaga gol, Thibaut Courtois, melalui kontrak selama enam tahun, sambil Mateo Kovacic berhijrah ke Chelsea menerusi pinjaman.

Penjaga gol Belgium, Courtois, menjadi sasaran Madrid sejak beberapa musim dan dia akan meninggalkan Stamford Bridge tatkala ujian kesihatan akan diselesaikan pada hari ini.

Pemain berusia 26 tahun itu memasuki tahun terakhir dalam kontraknya bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu dan tidak menyembunyikan keinginannya berhijrah ke ibu negara Sepanyol memandangkan anak-anaknya berada di Madrid dan dia pernah dipinjamkan selama tiga musim bersama Atletico Madrid.

Dalam masa sama, skuad kendalian Julen Lopetegui itu melepaskan Kovacic untuk menyarung jersi Chelsea menerusi kontrak pinjaman semusim.

Pemain berusia 24 tahun itu merupakan sebahagian daripada skuad Croatia yang melangkah ke final Piala Dunia, namun dia hanya melakukan 10 penampilan dalam kesebelasan utama Madrid di pentas LaLiga pada musim lalu dan berharap meraih lebih banyak peluang bersama The Blues walaupun kedua-dua pihak tidak menyebut tentang sebarang perpindahan tetap.

Sejak menggantikan tempat Petr Cech selaku pilihan utama di Stamford Bridge pada musim 2014/15, Courtois telah memenangi dua kejuaraan liga, satu Piala Liga dan menjulang Piala FA sekali.

Kejayaan itu diraih selepas dipinjamkan selama tiga musim bersama Atletico, dimana pasukan kendalian Diego Simeone itu mengetepikan Barcelona dan Madrid untuk menjulang trofi LaLiga.

Kehadirannya di Santiago Bernabeu menimbulkan persoalan mengenai status seorang lagi penjaga gol Los Blancos, Keylor Navas.

Pemain Costa Rica itu sebelum ini hampir dicabar Kepa Arrizabalaga pada Januari lalu, namun perubahan saat akhir menyaksikan pemain berusia 23 tahun itu mengubah fikiran untuk tidak menyertai Madrid, sebelum penjaga gol muda Sepanyol itu akhirnya melengkapkan perpindahan ke Chelsea pada awal pagi tadi, menggantikan tempat Courtois.