Berita  | Sukan

The Red Warriors intai Ferdinand Sinaga

The Red Warriors intai Ferdinand Sinaga
Husin juga menyifatkan keputusan mendapatkan pemain import Asia Tenggara perlu diputuskan segera. - Astro Arena
SELEPAS gagal mengikat 'awang' import Filipina, Misagh Bahadoran, Kelantan mengalih perhatian untuk mendapatkan bekas penyerang Indonesia, Ferdinand Sinaga, dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman, berkata bekas penyerang kelab PSM Makassar itu berada dalam radar pihak pengurusan The Red Warriors (TRW) selain pemain Singapura dan Vietnam untuk melengkapkan kuota ASEAN.
“Saya tidak menafikan kelibat Ferdinand berada dalam pemerhatian kami berdasarkan aksi cemerlang yang ditunjukkannya bersama kelab terdahulu.

“Kami harap selepas gagal memikat Bahadoran, Kelantan mampu mendapatkan pemain ini (Ferdinand) selain daripada pilihan daripada senarai akhir yang dikemukakan, termasuk pemain Singapura dan Vietnam, bagi melengkapkan senarai penuh skuad TRW musim ini,” katanya.

Husin juga menyifatkan keputusan mendapatkan pemain import Asia Tenggara perlu diputuskan segera kerana Kelantan akan membuat persiapan rapi sebelum menghadapi saingan tiga penjuru Piala Super Boost SportsFix di Kuala Lumpur, pertengahan bulan ini.

“Ketua jurulatih (Sathit Bensoh) yang mengetuai panel pemilihan pemain akan membuat keputusan segera (hari ini) selepas balik daripada bercuti. Keputusan ini penting bagi  persediaan TRW menghadapi Piala Super Boost di Bukit Jalil nanti,” katanya.

Difahamkan, pemain berusia 29 tahun itu dijangka tiba di Kota Bharu esok bagi memuktamadkan rundingan bersama KAFA.

Untuk lebih banyak lagi berita sukan dan video, klik di sini