Berita  | Sukan

The Reds berkenduri gol, Real Madrid tak cukup selesa

The Reds berkenduri gol, Real Madrid tak cukup selesa
Sadio Mane meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama untuk Liverpool pada perlawanan di Estadio do Dragao, Porto, Portugal, 14 Reb, 2018. Action Images via REUTERS
PORTO: Real Madrid membuktikan ia masih lagi berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan 3-1 menentang Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi pertama pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Dalam perlawanan tersebut, gol awal perlawanan dijaringkan pemain PSG, Adrien Rabiot, pada minit ke-33 sebelum Cristiano Ronaldo menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti minit ke-45 dan menambah gol pada minit ke-83.

Satu lagi gol Real Madrid diraih menerusi Marcelo pada minit ke-86.
Namun, ia bukanlah kedudukan selesa buat Madrid yang akan bertandang ke Perancis selepas ini.

Sementara itu, kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris turut mencatat kemenangan dengan berkenduri gol ke atas Porto 5-0.

Liverpool membuka tirai jaringan pada minit ke-25 permainan menerusi Sadio Mane sebelum pemain sensasi Mohamed Salah meledakkan gol kedua The Reds.

Mane kemudiannya sekali lagi menggegarkan jaring Porto pada minit ke-53 untuk kedudukan 3-0 .

Roberto Firmino mengubah kedudukan itu menjadi 4-0 sebelum Mane melengkapkan hatriknya pada minit ke-85 untuk menutup aksi penuh bergaya Liverpool 5 Porto 0.