PERENANG negara, Chan Jie, mahu melakukan sesuatu yang luar biasa menjelang Kejohanan Renang Terbuka Malaysia di Bukit Jalil, bermula Khamis ini dengan bersedia memecahkan rekod 10 tahun dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu.

Banyak pendekatan berbeza diterapkan jurulatih dari Amerika Syarikat, Chris Martin, sejak membimbing skuad negara, tiga minggu lalu.

Chan Jie sudah mula menunjukkan keserasiannya dengan program yang diterapkan Martin, khususnya dalam acara kegemarannya, kuak kupu kupu.

Dia berhasrat untuk memecahkan rekod peribadi, 54.00 saat, dalam acara 100 meter kuak kupu kupu dan jika segala-galanya mengikut perancangan, dia yakin mampu melepasi catatan 53.33 saat, yang merupakan rekod kebangsaan milik Daniel Bego ketika Kejohanan Renang Dunia di Rom, Itali pada 2009.

"Sejak sebulan lalu, kami sudah menjalankan persiapan dengan baik dan kami kini berada dalam keadaan terbaik.

"Kami meningkatkan waktu dan keamatan latihan, jadi kebanyakan kami sudah semakin cergas.

"Saya menjangkakan akan beraksi lebih baik (dalam kejohanan itu)," katanya.

Saingan yang berlangsung selama empat hari itu bukan sahaja merupakan kelayakan ke Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea Selatan (Julai depan), namun ia juga akan dijadikan medan pemilihan atlet untuk ke Sukan SEA Manila, November depan.

Chan Jie merangkul pingat perak acara 4x100 meter kuak kupu-kupu dengan bergandingan dengan Keith Lim, Lim Ching Hwang dan Welson Sim dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Saya boleh katakan yang saya hampir pasti akan terpilih kerana saya masih perenang kuak kupu-kupu terpantas di sini.

"Saya fikir ia tidak akan menjadi masalah buat saya," tambahnya.