KAPTEN Borussia Dortmund, Marco Reus, memohon maaf kerana mengecewakan pasukannya selepas dilayangkan kad merah ketika tewas 4-2 kepada Schalke menuju ke penutup musim Bundesliga, pada Sabtu.

Dortmund mendahului menerusi Mario Gotze tetapi harapan mereka bergelar juara Bundesliga lebur apabila Daniel Caligiuri menyamakan kedudukan dan Salif Sane membenarkan pasukan pelawat itu mendahului separuh masa pertama di Signal Iduna Park.

Tiada jalan untuk berpatah balik selepas Reus diarah keluar padang kerana melakukan terjahan keras ke atas Suat Serdar dan Caligiuri bertindak cemerlang menyempurnakan jaringan menerusi sepakan percuma.

Marius Wolf mengulangi kesilapan Reus apabila melakukan terjahan ke atas Serdar dan dilayangkan kad merah lima minit kemudian dan Dortmund meneruskan permainan dengan sembilan pemain.

Breel Embolo menyempurnakan kemenangan Schalke selepas Axel Witsel meledak gol kedua Dortmund.

Reus bertemu dengan pengadil perlawanan, Felix Zwayer, selepas tamat perlawanan tetapi dia berasakan tiada apa yang boleh diubah.

"Kesalahan saya berhak dilayangkan kad merah, saya lambat melakukan terjahan," kata Reus.

"Sesiapa yang mengenali saya mengetahui saya tidak berniat untuk mencederakan pemain tersebut. Saya ingin memohon maaf kepada pasukan."

Bayern Munich bakal memiliki kelebihan empat mata ke atas Dortmund di puncak Bundesliga jika mengatasi Nurnberg hari ini dan jurulatih BVB, Lucien Favre, mengisytiharkan harapan menjuarai liga berakhir di atas kekalahan itu.