Ketua jurulatih skuad hoki negara Paul Revington mahu anak buahnya muncul juara pada penampilan sulung dalam Kejohanan Antarabangsa Sembilan Sebelah Siri Super Perth, Australia dari 17 hingga 20 Okt.

Dalam kejohanan jemputan antarabangsa empat negara itu, Malaysia akan menentang Pakistan pada 17 Okt ini diikuti Australia pada hari berikutnya dan Argentina pada 19 Okt.

Kunjungan ke Perth itu adalah sebahagian daripada persediaan skuad negara menghadapi edisi ketiga Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2013 di Kakamigahara, Jepun, bermula 1 hingga 10 Nov ini.

"Kami dijemput oleh penganjur untuk menyertai kejohanan antarabangsa ini dan dengan kehadiran pasukan yang kuat, maka menjadi satu bonus bagi saya untuk menilai prestasi semasa skuad negara.

"Saya harap anak buah saya menang setiap perlawanan dan bukan sekadar untuk melengkapkan senarai pasukan," kata jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pentadbiran Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) di sini hari ini.

Semasa di Perth, skuad negara dijadual mengadakan tiga perlawanan persahabatan menentang Argentina pada 15 Okt dan dua perlawanan dengan skuad Australia 'A' pada 22 dan 23 Okt ini.

Mengenai Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda, Revington berkata mendapatkan kedudukan tertinggi dalam kejohanan itu akan merupakan satu pencapaian terbaik bagi dirinya.

Malaysia telah beraksi dalam enam Piala Dunia bermula pada 1973, 1975, 1978, 1992, 1998 dan 2002 dengan pencapaian terbaik tempat keempat pada edisi 1975 di Kuala Lumpur.