KETUA jurulatih olahraga Paralimpik negara, R. Jegananthan, tidak menyangka dia masih berpeluang menyaksikan kejayaan anak didiknya selepas terbabit insiden nahas jalan raya yang membuatkannya lumpuh hampir tiga bulan.

Tiada senyuman manis daripada Jegananthan tatkala emas pertama dijamin anak didiknya, Ridzuan Puzi, sebaliknya hanya linangan air mata menjadi jawapan betapa dia sudah bebas daripada bebanan tanggungjawabnya itu.

Pada 2015, Jegananthan mengakui pernah hilang semangat selepas mengetahui dia bakal lumpuh dan hanya mampu bergerak dengan menggunakan kerusi roda.

Ditambah berita duka ketika dia masih di bawah rawatan hospital, kehilangan atlet harapannya, Allahyarham Mohd Azlan Mat Lazim, yang meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya, seolah-olah segala-galanya direntap dalam satu masa.

Hilang punca, buntu dan bingung dengan situasi yang dihadapinya ketika itu, kelibat Ridzuan Puzi akhirnya menjadi pencetus untuk dia kembali bangkit.

Ridzuan perlukan saya - itulah kata-kata keramat yang kembali membawa Jegananthan kepada tugasan hakikinya.

“Saya telah lumpuh hampir tiga bulan, dan selepas itu saya kembali melatih Ridzuan dan menjayakan kejohanan ini," katanya.

Dan tarikh 10 September 2016 jam 5.45 petang waktu tempatan, air mata dukanya terbalas dengan kejayaan buat Jegananthan apabila Ridzuan yang merupakan pilihan keduanya satu ketika dulu muncul wira, sekali gus merealisasikan hasrat menggunung jurulatih itu.

Mengakui mereka melewati kesukaran, tekanan dan pengorbanan sebelum sampai ke tahap ini, hasilnya bagaimanapun cukup manis untuk dikenang.

“Saya tertekan dengan janji saya buat Malaysia, untuk menghadiahkan emas buat Malaysia.

"Saya masih tidak berada di dalam kesihatan yang terbaik dan saya masih perlu mengambil ubat untuk menahan kesakitan yang saya hadapi.”