Keluarga jaguh terjun negara Cheong Jun Hoong, 26, yang memenangi pingat Perak acara 10 meter platform seirama Sukan Olimpik Rio pagi tadi bangga dengan pencapaiannya itu.

Pencapaian Jun Hoong yang bergandingan dengan Pandelela Rinong dilihat berjaya merealisasikan cita-cita anak kelahiran Ipoh ini sejak berusia 9 tahun lagi.

Menurut ibu Jun Hoong, Leow Lai Kuan, 50, anak sulungnya itu amat komited mengejar cita-citanya itu sejak mengenali sukan air dan kerap berlatih walaupun pada musim cuti sekolah.

BACA: Pencen seumur hidup untuk Pandelela-Jun Hoong

BACA: Pandelela-Jun Hoong hadiahkan kilauan perak untuk negara

FOTO: Kilauan perak Pandelela Rinong-Jun Hoong Ceong untuk negara

“Saya merasa sangat gembira, sebab dia sudah lama berlatih. Dia juga melahirkan rasa gembira. Pagi tadi dia ada buat panggilan memaklumkan pada13 haribulan nanti dia akan ada satu acara lagi. Acara individu di terjun 3 meter. Dia berharap akan dapat meraih pingat lagi,” kata Leow ketika ditemui di kediaman keluarga mereka di sini hari ini.


Tambah beliau, kakak kepada dua orang adik perempuan itu turut sempat menghubungi keluarga sebelum bertolak ke Rio tempoh hari dan menyatakan dia amat tidak sabar untuk bertanding dan memohon mendoa bagi kejayaannya.

Menurut adiknya Cheong Jun Yeng, 23, kesemua ahli keluarga amat tidak menyangka Jun Hoong muncul wanita pertama dari negeri itu yang memenangi pingat Perak olimpik dan berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam sukan yang dicintainya.

“Pastinya saya rasa gembira kakak mendapat pingat tidak kira gangsa atau perak. Kami rasa gembira dan bangga kerana dia bukan sahaja membanggakan keluarga kami tetapi seluruh rakyat Malaysia. Harap semua rakyat Malaysia akan terus menyokongnya dan memberi motivasi menjelang acara seterusnya,” kata Jun Yeng.

Sementara itu, kerajaan negeri Perak turut merakamkan penghargaan kepada keluarga Jun Hoong dengan mengadakan kunjungan ke rumah keluarganya.

Pengerusi Jawatankuasa Sukan Negeri, Datuk Shahrulzaman Yahaya berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan untuk menentukan apakah bentuk insentif bersesuaian yang boleh diberikan kepada penerjun negara itu.


Gandingan Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong meraih pingat perak setelah mengumpul 344.34 mata. Emas dimenangi penerjun China, Chen Ruolin-Liu Hui Xia yang berkelebihan 9.66 mata.