SEORANG pengulas sukan dari sebuah stesen televisyen Kanada termalu sendiri apabila tersilap mengumumkan pemenang sebenar acara 200m medley perseorangan di temasya Sukan Olimpik Rio 2016.

Ketika membuat ulasan secara langsung, pengulas Elliotte Friedman telah mengumumkan perenang Amerika Syarikat Ryan Lochte sedangkan pemenang sebenar adalah perenang senegara Lochte, Michael Phelps.

Memetik laporan AFP, Elliotte Friedman dari saluran CBC itu menyedari kesilapan itu setelah melihat Phelps mengangkat tangan tanda kemenangan.

Sebelum itu dalam ulasan langsungnya, Friedman dengan penuh yakin berkata Phelps tidak akan memenangi sebarang pingat dalam acara itu kerana tersalah melihat lorong.

“Ryan Lochte akan tewaskan Michael Phelps dalam acara ini dan Phelps tidak akan memenangi pingat,” kata Friedman penuh yakin.

Beberapa saat kemudian beliau berkata: “Minta maaf, saya tersalah lihat lorong renang. Phelps memenangi pingat emas.”

Susulan itu juga dia memohon maaf di Twitter.