PENYERANG Everton, Romelu Lukaku akan berhijrah ke Manchester United dengan yuran perpindahan mencecah 75 juta pound.

Menurut portal berita BBC.com, pembelian Lukaku itu tiada kaitan dengan usaha Everton untuk membawa penyerang Manchester United, Wayne Rooney ke kelab lamanya.

Susulan perkembangan terbaru ini, Lukaku dijangka dibawa pengurus Manchester United, Jose Mourinho ke Amerika Syarikat pada Ahad bagi siri jelajah pra-musim.

Mourinho telah menyenaraikan Lukaku dalam senarai penyerang pilihannya yang diserahkan kepada Naib Pengerusi Eksekutif kelab, Ed Woodward sebelum musim Liga Perdana Inggeris berakhir.

Pemain antarabangsa Belgium berusia 24 tahun itu telah menjaringkan 25 gol sepanjang saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu.