Selepas menjaringkan empat gol dan membantu satu jaringan, pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane menggelar penyerang utama pasukannya, Cristiano Ronaldo berasal daripada ‘galaksi yang lain’.

Dalam kemenangan 6-3 ke atas Girona di Stadium Santiago Bernabeu, gelaran itu diberikan kepada Ronaldo yang turut mencatatkan jaringan hat-trick ke-50 dalam kariernya.

Walaupun persembahan Ronaldo pada permulaan musim tidak memberangsangkan tetapi kini, beliau telah menjaringkan 17 gol dalam lapan perlawanan terakhir.

“Beliau berasal daripada galaksi yang lain. Itu adalah sesuatu yang benar.

“Apabila beliau dalam keadaan baik, pasukan juga akan dapat beraksi pada tahap terbaik. Ronaldo mampu melonjakkan satu tenaga kepada pasukan.

“Matlamat pasukan kini ialah menduduki tempat kedua hingga ke akhir musim. Bagi Ronaldo, beliau memerlukan tiga gol lagi bagi menyamai jumlah jaringan Lionel Messi dalam kedudukan Pichichi (penjaring terbanyak La Liga) dan saya harap beliau mampu mengatasi Messi,” kata Zidane kepada Real Mardrid TV ketika sidang media selepas perlawanan itu.

Zidane turut memuji sikap Ronaldo yang sentiasa berlatih dengan memberi fokus 100 peratus dan mempunyai cita-cita yang tinggi.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Zidane bangga dengan kemenangan tersebut tetapi kecewa tiga gol bolos melalui set-pieces.