Cristiano Ronaldo menjaringkan satu gol ketika aksi berbaki 10 minit untuk memastikan kekecewaan Liga Juara-Juara Eropah tidak membelenggu diri, apabila membantu Juventus menewaskan Frosinone 2-0, awal pagi tadi.

Dilayangkan kad merah ketika bertemu Valencia pada pertengahan minggu lalu, bintang Portugal itu jelas tidak memikirkan kekecewaan itu apabila menyumbat gol dari jarak dekat, sebelum Federico Bernardeschi mengesahkan kemenangan dengan gol kedua dalam waktu kecederaan, memastikan juara bertahan Serie A itu kekal dengan permulaan cemerlang musim ini.

Ronaldo dilihat lebih kecewa berbanding kunjungan ke Sepanyol, sebelum ini setelah melepaskan deretan peluang untuk mencipta jaringan ketia berdepan Frosinone, kelab yang baru dinaikkan daripada Serie B pada musim ini.

Namun, bola muntah hasil percubaan Miralem Pjanic membolehkan penggempur berusia 33 tahun itu mempamerkan taringnya dan Bernardeschi mudah melengkapkan kemenangan dalam satu penyudah hasil daripada serangan balas.

Dilihat menangis pada Rabu lalu, keadaan Ronaldo jelas tidak banyak membantu dalam 45 minit pertama di Stadio Benito Stirpe.

Marco Capuano mengeluarkan percubaan bekas tonggak Real Madrid itu di atas garisan gol pada minit ketujuh dan penjaga gol tuan rumah, Marco Sportiello, turut cemerlang menangkap kemas rembatan derasnya.

Kekecewaan Ronaldo terus terserlah, kali ini percubaannya terkena palang gol sebelum Sportiello yang dipinjamkan dari Atalanta, terus cemerlang dengan aksi tangkas menyelamatkan beberapa usaha bintang Juventus yang lain.

Penjaga gol itu juga merebahkan badan untuk menafikan peluang Ronaldo menyumbat gol menerusi tolakan tumit, membuktikan keinginan tuan rumah untuk merebut mata.

Namun, akhirnya bintang sensasi Juve itu tidak lagi dapat disekat.

Dia memecahkan kebuntuan pada minit ke-81, sebelum mengetuai serangan balas untuk membolehkan Bernardeschi mencatat gol kedua Juve, sekaligus memastikan Juve terus mengutip tiga mata untuk mengetuai carta Serie A.