DOUGLAS Costa percaya pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or, Cristiano Ronaldo, mampu membawa Juventus mara ke tahap yang berikutnya untuk memenangi kejuaraan Eropah.

Ronaldo melengkapkan perpindahan sensasi daripda juara Eropah, Real Madrid, ke Juventus menerusi perpindahan bernilai EUR112 juta (RM529 juta) bulan lalu.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman Madrid itu tiba di Turin tatkala Juve sedang mempersiapkan diri untuk meraih kejuaraan Serie A yang kelapan berturut-turut walaupun sukar untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah.

Juve gagal menyinar di Eropah sejak 1996 tetapi Costa yakin Ronaldo mampu membantu pasukannya.

"Saya rasa Ronaldo sudah berada di tahap tertinggi tetapi dia mahu mengambil langkah baru untuk mengesahkan statusnya," kata Costa.

"Ronaldo memiliki segala-galanya untuk membawa kami ke tahap seterusnya dan melakukan perkara penting dalam musim ini.

"Dia benar-benar merupakan pemain penting tetapi kami juga memiliki Paulo Dybala dan beberapa pemain penting. Saya sudah beraksi dengan Neymar, jadi amat penting untuk saya bermain di tahap seperti Ronaldo.

"Semua orang mengalu-alukan kehadirannya dan kami tahu dia akan meningkatkan kami. Kami tidak boleh menyembunyikannya."

Bercakap mengenai karier yang diraih di bawah kendalian Massimiliano Allegri di Juve, Costa yang menyertai gergasi Itali itu dari Bayern Munich menambah: "Juve tahu bagaimana untuk memenangi seorang pemain.

"Sebaik sahaja seorang pemain membuat keputusan dan perjanjian dicapai, pihak kelab melayan mereka seperti dalam keluarga. Saya rasa keluarga dalam Juve sangat penting. Ia mengajar saya untuk hidup.

"Ilmu yang diajar Allegri mengandungi keinginan yang tinggi dalam aspek pertahanan pasukan dan bagi saya, ia sangat penting kerana saya gemar mara ke depan dan bertahan membuatkan saya lebih sempurna. Dia memainkan peranan penting dalam karier saya."