ZINEDINE Zidane berkata tiada lagi perkataan untuk mengulas tentang Cristiano Ronaldo selepas bintang Real Madrid itu memecahkan rekod dan menjadi inspirasi dalam kemenangan 3-1 pasukannya ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara Eropah di Santiago Bernabeu, awal hari ini.

Ronaldo menjadi pemain pertama menjaringkan 100 gol untuk kelab yang sama dalam pertandingan kelab elit Eropah ketika menentang PSG.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu mencapai kejayaan tersebut menerusi jaringan penalti dalam separuh masa pertama, membatalkan gol pembukaan Adrien Rabiot pada minit ke-33 dalam aksi pertama pusingan 16.

Ronaldo menambah koleksi golnya kepada 101 setelah meletakkan Madrid 2-1 di depan ketika perlawanan berbaki tujuh minit sebelum Marcelo menambah kelebihan buat penyandang juara itu.

Bercakap kepada pemberita, Zidane berkata: "Sukar untuk mengatakan perkara sama tentang Ronaldo setiap hari. Dia terus melakukan perkara yang menakjubkan."

Diterajui oleh Neymar, PSG menguasai perlawanan untuk beberapa tempoh tertentu dan ia hanya berlaku sebelum gergasi Perancis itu memperoleh gol di gelanggang luarnya.

Bagaimanapun, pemain gantian Zidane mengubah permainan dengan memihak kepada Madrid ketika Gareth Bale, Marco Asensio dan Lucas Vazquez memberi kesan segera setelah masuk dari bangku simpanan.

Walaupun Madrid berkelebihan dua gol, Zidane menegaskan dia tidak boleh berasa selesa untuk perlawanan timbal balik pada 6 Mac nanti.

"Kami bermain baik sepanjang masa," kata Zidane. "Kami memberi tekanan dan meneruskan permainan kami walaupun mereka berada di depan. Kami layak menang. Ia kemenangan yang hebat pada malam ini. Tetapi kami tahu masih ada satu lagi perlawanan untuk dilalui -- ia perlawanan yang sangat sukar."