IAN RUSH berkata tiada siapa lagi yang lebih hebat selain daripada Gareth Bale untuk memecah rekodnya selaku penjaring terbanyak Wales.

Bale perlu melakar hatrik dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Republik Ireland di tempat lawan untuk mengatasi rekod 28 gol yang dicipta Rush.

Selepas berehat selama tiga bulan akibat kecederaan pergelangan kaki, pemain berusia 27 tahun itu kembali memperagakan aksi bersama Real Madrid sejak empat minggu lalu dengan mencetak gol dalam dua perlawanan.

"Rekod akan dipecahkan, saya tidak pernah khuatir mengenainya," kata pemain legenda Liverpool itu kepada Sky Sports.

"Saya sentiasa menjangkakan seseorang akan memecah rekod saya pada suatu hari nanti, kalau ada seseorang yang mampu melakukannya, ia adalah menerusi salah seorang pemain terbaik di dunia.

"Malah, saya mahu dia mengatasi rekod itu di Dublin kerana ia bermakna dia perlu melakukan hatrik!"

Wales kini ketinggalan empat mata di belakang Ireland dalam saingan Kumpulan D dengan Bale berharap untuk melebarkan empat jaringan yang dirakamkannya dalam kempen itu setakat ini.

"Adalah menarik buat Wales bahawa Bale sudah kembali daripada masalah kecederaan," tambah Rush.

"Dia merupakan pemain paling meningkat di dunia dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Seperti yang pernah kita saksikan, dia mampu memenangi perlawanan dengan sekelip mata.

"Ireland pasti akan menyekat serangan Wales. Tetapi adalah mustahil untuk merantai Bale dalam tempoh 90 minit.

"Saya tidak pernah layak ke Piala Dunia, tapi saya sangat teruja sekarang dan saya mahu melihat Wales beraksi di Russia. Kalau Bale dapat menyumbat gol, maka Wales kemungkinan akan menang dan melayakkan diri."