NEW ZEALAND All Blacks menamatkan kempen Piala Dunia Ragbi 2019 di tempat ketiga selepas menewaskan Wales 40-17 pada Jumaat.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tokyo, skuad bimbingan Steve Hansen meraih mata menerusi enam tries dan lima conversion.

Di sebalik kekecewaan di peringkat separuh akhir selepas dikejutkan England, All Blacks terus mempamerkan persembahan bertenaga dengan barisan 15 pemain terbaiknya.

All Blacks memperolehi tujuh mata pertama seawal minit kelima menerusi try dan conversion yang masing-masing disempurnakan Joe Moody dan Richie Mo'unga.

Sepanjang tempoh 40 minit pertama perlawanan, All Blacks memperolehi tambahan tiga try iaitu satu menerusi Beauden Barrett pada minit ke-13 dan dua disumbang Ben Smith minit ke-33 dan 41.

Enggan menyerah kalah, Wales merapatkan jurang dengan memperolehi 10 mata menerusi masing-masing satu try, conversion dan penalti.

Bagaimanapun, sebaik separuh masa kedua bermula, All Blacks terus menggandakan asakan dan memperolehi try kelima pada minit ke-42 menerusi Ryan Crotty.

Mo'unga yang menyumbang 10 mata menerusi tendangan conversion turut memperolehi satu try pada minit ke-76.

Wales hanya berjaya menambah tujuh mata sehingga wisel penamat ditiupkan bagi menjadikan keputusan 40-17.