Ryan Giggs dilantik sebagai pengurus baharu skuad kebangsaan Wales untuk tempoh kontrak empat tahun.

Bekas kapten Manchester United itu menggantikan Chris Coleman yang menyertai Sunderland pada November lalu selepas gagal membawa Wales ke pusingan akhir Piala Dunia 2018.

Pemilihan Giggs dibuat panel khas yang diketuai Ketua Eksekutif Persatuan Bola Sepak Wales (FAW) Jonathan Ford yang mempunyai kuasa mutlak bagi menentukan pengganti Coleman.

Giggs memenangi 64 caps bersama Wales antara 1991 dan 2007 dan pernah dilantik menjadi kapten pasukan itu.

Sepanjang tempoh berkenaan, dia turut berdepan kritikan penyokong kerana sering menarik diri dari beraksi terutamanya dalam perlawanan persahabatan.

Gigss, 44, pernah menjadi pengurus sementara Manchester United dalam empat perlawanan terakhir The Red Devils musim 2013-14 Liga Perdana Inggeris (EPL) susulan pemecatan David Moyes.

Dua musim berikutnya dia bertindak selaku pembantu kepada Louis Van Gaal.

Bagaimanapun Giggs membuat keputusan mengejut apabila meninggalkan Old Trafford selepas 29 tahun selepas kelab itu mengumumkan perlantikan Jose Mourinho selaku pengurus baharu.

Giggs sebelum ini dikaitkan bakal membimbing Swansea dan pernah menghadiri temuduga bagi jawatan pengurus pada Oktober 2016 namun tugas itu akhirnya diberikan kepada Bob Bradley.