Kementerian Belia dan Sukan meminta kerajaan negeri Sabah supaya mengemukakan cadangan untuk pembangunan kemudahan sukan yang sesuai sebagai venue penganjuran sukan antarabangsa.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata ini bagi menampilkan lebih banyak tempat penganjuran sukan dan tidak hanya tertumpu kepada Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya sahaja.

"Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan agar Kementerian Belia dan Sukan pusat dapat mengadakan perancangan bagi membangunkan kemudahan sukan yang dicadangkan," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran pergerakan Pemuda Umno Sabah di sini malam tadi.

Khairy juga mencadangkan agar venue bagi Sukan SEA ke-29 pada 2017 yang Malaysia menjadi tuan rumah, turut diperluas ke Sabah dan Sarawak. Beliau berkata kementeriannya akan mengkaji cadangan pembinaan litar lumba yang baharu di Sabah dan Kota Belud telah dikenal pasti sebagai daerah yang sesuai untuk pembinaan litar tersebut.

Hadir sama pada majlis itu ialah ialah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.