KUALA LUMPUR:Mereka pernah bertemu pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan Malaysia berjaya menundukkan Brunei 2-1.

Bintang baharu Portimonense SC, Muhammad Safawi Rasid sekali lagi bakal berdepan dengan bintang Brunei, Faiq Jefri Bolkiah untuk perlawanan Liga Primeira pada 10.30 malam Sabtu (waktu Malaysia).

Faiq yang memegang status sebagai pemain bola sepak terkaya di dunia bakal bermain bagi pasukan Maritimo malam ini selepas dibawa masuk oleh kelab itu baru-baru ini.

Perlawanan ini bukan sahaja akan menjadi tumpuan bagi peminat bola sepak tanah air, malah peminat bola sepak di Brunei yang teruja untuk melihat dua bintang dari Asia Tenggara itu beraksi.

Ramai peminat menaruh harapan tinggi untuk melihat Safawi beraksi meskipun terdapat ura-ura yang mengatakan pemain itu mungkin hanya akan diletakkan sebagai pemain simpanan.

Mana tidaknya, sehari sebelum perlawanan, Safawi sudah beraksi penuh dengan membuat aksi sulung bersama skuad bawah-23 tahun B-23 Portimonense SC menentang pasukan Sporting Lisbon di Portugal pada awal pagi Sabtu.

Pasukan diwakili pemain berusia 23 tahun yang dipinjamkan oleh Johor Darul Takzim (JDT) itu bagaimanapun tewas 1-3 dalam perlawanan Liga Revelacao B-23 di Stadium Dois Irmaos.

Melihat ke hadapan, perlawanan antara Portimonense SC dan Maritimo pada jam 10.30 malam ini boleh disaksikan menerusi saluran Astro Arena yang bakal menyiarkan perlawanan secara langsung.

Sebagai rekod, Safawi merupakan pemain Malaysia kedua yang berhijrah ke liga utama Eropah selepas pemain muda meningkat naik negara Luqman Hakim Shamsuddin yang menyertai kelab liga Belgium KV Kortrijk daripada Selangor 2.

Safawi, 23, berhijrah secara pinjaman selama semusim dengan kelab utama Portugal itu dan kemungkinan ditawarkan kontrak sambungan jika prestasinya berjaya memikat barisan jurulatih.

BACA: Safawi sedia pamer aksi terbaik di Portimonense SC

BACA: Luqman Hakim cetak gol 'rasmi' pertama, julang KV Kortrijk