Diramal gagal di pentas Piala Dunia, Rusia menangkis segala ramalan itu selepas melakar kemenangan kedua dalam peringkat kumpulan dengan mengatasi Mesir 3-1 di St. Petersburg awal pagi tadi.

Gol sendiri kapten pasukan Mesir, Ahmed Fathi pada awal babak kedua memberi pendahuluan kepada tuan rumah, yang kerap diancam serangan berbahaya Mesir dalam babak pertama.

Gol kedua Rusia dijaringkan Denis Cherysev pada minit ke-59, yang menyudahkan hantaran Mario Fernandes sebelum Artem Dzyuba memastikan kemenangan milik tuan rumah pada minit ke-62.

Bintang Mesir, Mohamed Salah yang kembali selepas direhatkan pada perlawanan pertama menentang Uruguay, mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol, namun gagal menjumpai penyudah dalam babak pertama.

Salah berjaya menjaringkan gol pertamanya di pentas Piala Dunia menerusi sepakan penalti, selepas dia dijatuhkan Roman Zobnin di penghujung kotak penalti.

Pada mulanya, pengadil hanya memberi sepakan percuma atas kesalahan yang dibuat Roman Zobnin ke atas Salah, namun selepas merujuk semula insiden tersebut dengan menggunakan VAR, penalti diberikan.

Rembatan kencang Salah berjaya menewaskan penjaga gol legenda Rusia, Igor Akinfeev, walaupun ketua pasukan tuan rumah itu berjaya meramal arah sepakan yang dibuat penyerang Liverpool itu.

Cherysev kini sudah menjaringkan tiga gol dalam kejohanan ini, selepas berjaya meledak dua gol menentang Arab Saudi, dimana Rusia menang 5-0 dalam perlawanan pembukaan.

Pemain Villarreal itu sebelum ini sekadar disenaraikan sebagai pemain simpanan namun dimasukkan untuk menggantikan Alan Dzagoev yang mengalami kecederaan pada minit ke-24 dalam perlawanan menentang Arab Saudi.

Rusia yang akan menentang Uruguay dalam perlawanan terakhir kumpulan A pada 25 Jun, sudah hampir pasti layak ke pusingan seterusnya jika Uruguay menewaskan Arab Saudi malam ini.