Tutup

Berita  | Sukan

Salah paksa Lloris buat silap untuk Liverpool kalahkan Spurs

Salah paksa Lloris buat silap untuk Liverpool kalahkan Spurs
Salah terlepas banyak peluang untuk menjaringkan gol menentang Spurs namun berjaya memaksa Lloris dan Alderweireld buat kesilapan untuk gol kemenangan Liverpool. - AP
LIVERPOOL kembali ke puncak liga selepas menewaskan Tottenham Hotspur 2-1 di Anfield.

Gol sendiri daripada pertahanan tengah Spurs, Toby Alderweireld pada minit ke-90 memberi kemenangan dramatik kepada the Reds untuk kembali merampas kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada Manchester City.

Gol diperoleh apabila tandukan Mohamed Salah ke arah gol gagal ditangkap penjaga gol Spurs, Hugo Lloris yang kemudian melantun terkena kaki Alderweireld dan melepasi garisan gol.
Sebelum itu, Liverpool mendahului permainan pada minit ke-16 menerusi tandukan Roberto Firmino, hasil hantaran cantik Andy Robertson dari kiri padang.

Namun pertukaran taktik yang dibuat pengurus Spurs, Mauricio Pochettino dalam babak kedua, menyaksikan mereka beraksi dengan lebih baik dan mendapat gol penyamaan menerusi Lucas Moura pada minit ke-70.

Spurs terlepas peluang untuk mendapat gol kedua lima minit sebelum tamat apabila rembatan Moussa Sissoko tersasar.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan seri 1-1, kesilapan Lloris ternyata membawa padah kepada pasukannya di minit terakhir permainan, apabila gagal menangkap bola tandukan Salah, yang menerima hantaran Trent Alexander-Arnold.

Kemenangan menyaksikan Liverpool kembali ke puncak liga dengan 79 mata berbanding City yang mengumpul 77 mata dan beraksi kurang satu perlawanan.

City mengalahkan Fulham 2-0 pada Sabtu untuk menyaksikan persaingan perebutan kejuaraan terus sengit dengan baki enam perlawanan buat the Reds dan tujuh perlawanan buat the Citizens musim ini.