ARSENE Wenger berkata pemain bintang, Alexis Sanchez, masih cuba untuk mengembalikan pretasi terbaiknya meskipun memimpin Arsenal mengatasi FC Cologne 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan H, Liga Europa, awal pagi tadi.

Sanchez mempamerkan aksi mantap untuk meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-67 selepas Sead Kolasinac menyamakan kedudukan pada minit ke-49 tatkala Cologne terlebih dahulu di depan seawal minit ke-9 melalui gol Jhon Cordoba.

Sanchez -- yang bakal meninggalkan The Gunners secara percuma hujung musim ini -- mempamerkan kemampuannya di Stadium Emirates meskipun meluahkan kenyataan tidak berpuas hati terhadap kelab itu yang tidak menjualnya ke Manchester City, di awal musim.

"Kami memulakan perlawanan dengan hambar dan dihukum dengan gol awal pihak lawan. Selepas itu kami sedar penting untuk tidak dibolosi buat kali kedua jadi kami mula meningkatkan rentak permainan. Daripada situ, kami menguasai perlawanan dan melakar kemenangan meyakinkan," Wenger memberithau BT Sport.

"Sanchez masih cuba mendapatkan sentuhan terbaiknya. Dia seorang pemain yang hebat tetapi dia baru sahaja kembali bersama kami.

"Kami mahu beraksi cemerlang dalam semua kejohanan dan meskipun membuat sembilan pertukaran pemain hari ini, kami masih memiliki skuad yang berpengalaman. Mereka semua pemain yang hebat."

Perlawanan terpaksa ditangguh selama sejam apabila 20,000 penyokong Cologn cuba membanjiri Emirates meskipun hanya 3000 tiket mereka dijual.

Sebaik perlawanan dimulakan, Arsenal ketinggalan seawal minit ke-9 menerusi gol Cordoba yang melepaskan rembatan dari jarak 40 meter.

Pemain gantian, Sead Kolasinac menyuntik kembali kebangkitan The Gunners apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-49 sebelum Sanchez meletakkan pasukan tuan rumah di depan.

Hector Bellerin mengesahkan kemenangan Arsenal dengan gol ketiga dan pemain Sepanyol itu berkata:"Ini kejohanan yang baru buat kami jadi kami perlu mencipta impak berkesan. Kami adalah antara pasukan terbaik dalam kejohanan ini jadi kami perlu buktikannya di atas padang.

"Saya gembira dengan kemenangan ini. Kami sudah bersedia memulakan perlawanan pada jam 20:05 BST tetapi perkara ini berlaku."