Berita  | Sukan

Sanchez terima lampu hijau serta jelajah Man Utd di AS

Sanchez terima lampu hijau serta jelajah Man Utd di AS
Sanchez (gambar) kini bersedia untuk menyertai rakan sepasukannya, seterusnya memberi khabar gembira kepada Jose Mourinho yang sedang mempersiapkan skuadnya untuk menghadapi Piala Juara-Juara Antarabangsa. - Gambar fail
ALEXIS Sanchez mendapat lampu hijau untuk menyertai jelajah pra-musim Manchester United selepas diberikan visa untuk memasuki Amerika Syarikat (AS).

Pemain antarabangsa Chile tersebut berdepan masalah berkaitan dengan hukuman penjara 16 bulan yang digantung susulan penipuan cukai di Sepanyol pada awal tahun ini.

Begitupun, Sanchez kini bersedia untuk menyertai rakan sepasukannya, seterusnya memberi khabar gembira kepada Jose Mourinho yang sedang mempersiapkan skuadnya untuk menghadapi Piala Juara-Juara Antarabangsa dengan AC Milan, Liverpool dan Real Madrid.

Pengurus Portugis itu masih kehilangan beberapa pemain Piala Dunia 2018 termasuk Paul Pogba, Romelu Lukaku dan Marouane Fellaini sementara tonggak England, Phil Jones, Ashley Young, Jesse Lingard dan Marcus Rashford juga masih bercuti.
Mourinho memberi amaran bahawa keputusannya mungkin buruk namun menegaskan prospek kekalahan berat tidak membimbangkannya.

"AC Milan membawa kesemua pemain mereka kerana Itali tidak layak ke Piala Dunia," kata pengurus Red Devils tersebut kepada MUTV.

"Kemudian Liverpool, saya fikir mereka mempunyai skuad penuh selain pemain Inggeris. (Jordan) Henderson dan (Trent Alexander-) Arnold.

"Dengan Real Madrid pula, Sepanyol tersingkir di peringkat awal, jadi semua pemain ada di sini. (Gareth) Bale dan (Karim) Benzema tidak menyertai Piala Dunia, jadi kami akan menghadapi pasukan dengan potensi yang sangat berbeza berbanding kami.

"Saya tidak bimbang mengenainya - saya tidak bimbang jika kami tewas meskipun dengan angka yang besar."

United akan mengharungi lima perlawanan, bermula aksi menentang kelab Liga MX, Club America, hari ini, tiga hari sebelum pertemuan dengan kelab MLS, San Jose Earthquakes.




Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro