ALOR SETAR:Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor hari ini memberi bayangan mengundur diri dari memikul jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Jelasnya menerusi satu kenyataan di akaun Facebook miliknya, beliau bercadang menyerahkan tugas dan urusan bola sepak kepada pihak yang lebih layak.

"Selepas selesaikan semua hutang-piutang KFA tinggalan pengurusan sebelum ini, saya bercadang untuk menyerahkan urusan bola sepak kepada mereka yang lebih layak memikulnya.

"Ada ramai tokoh yang lebih layak untuk urusan ini. Saya akan kekal sebagai penyokong setia Hijau Kuning," tulis beliau.

Langkah itu dipercayai bertujuan bagi memajukan lagi sukan bola sepak, khususnya di negeri Jelapang Padi ini.

Bagaimanapun, tegas beliau, tindakan terbabit hanya akan dilakukan selepas semua masalah dan kemelut yang dihadapi KFA, termasuk isu tunggakan gaji pemain dan pengurusan, diselesaikan terlebih dahulu.

BACA: "Darul Aman FC dipilih sebab tidak mahu jadi ayam goreng" - MB Kedah

BACA: Kenyataan Sanusi tambah perit skuad Kedah

Pada Rabu, Muhammad  Sanusi mengumumkan, pasukan bola sepak Kedah akan menggunakan Darul Aman FC (DFC) sebagai nama rasmi pasukan berkenaan selepas proses penswastaan berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau turut menyatakan bahawa DFC turut akan menggunakan logo baharu yang merangkumi ikon yang melambangkan negeri Kedah, termasuk lambang bunga padi serta warna rasmi Hijau Kuning.

 
Sumber Facebook N24MuhammadSanusiMdNor

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi turut berhasrat mempertimbang cadangan berkaitan logo baharu DFC, yang dikemukakan peminat Hijau Kuning selepas mendapat kritikan di media sosial.

Jelasnya, logo awal yang didaftarkan adalah bagi menyelesaikan keperluan untuk proses pemisahan daripada Persatuan Bolasepak (FA) kepada Kelab Bolasepak (FC) mengikut syarat yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Ramai peminat pasukan Kedah hantar, minta pilih logo-logo ini, InsyaAllah kesemuanya akan dipertimbangkan," tambahnya.