Peruntukan RM85 juta untuk membangunkan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) menjadi topik utama sesi townhall Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Bukit Jalil, di sini.

Syed Saddiq berjanji akan siasat sehingga ke lubang cacing memandangkan AMD tidak dibangunkan dengan baik.

Ini kerana terdapat banyak kerosakan yang tidak dibaiki selain kemudahan asas yang tidak lengkap walaupun diberi peruntukan tinggi.

“Perkara ini memang saya akan siasat sehingga ke lubang cacing. It is wrong. RM85 juta sudah dibelanjakan, ini bukan duit tahunan, ini untuk membangunkan tempat tersebut," kata Syed Saddiq.

Masalah lain yang dinyatakan Syed Saddiq pada townhall tersebut juga mengenai tiadanya pakar pemakanan, tempat tinggal untuk pakar fisioterapi dan pembekal makanan yang betul kepada pelatih di AMD.

Selain itu, terdapat juga kerosakan teruk yang tidak dibaiki walaupun ia merupakan pusat kecemerlangan sukan.

“Perkara yang boleh diselesaikan secepat mungkin, isu makanan, isu dibawah bidang kuasa ISN, hiburan, dan motivasi, saya akan selesaikan tahun ini.

“Untuk jangka masa panjang, saya rasa perlu ada penilaian semula dalam struktur yang sedia ada. Bagaimana kita nak salurkan duit supaya ia betul-betul pergi pihak yang memerlukannya dan pada masa sama urus tadbir yang baik," jelasnya.

Selain itu, isu yang turut dibangkitkan pada sesi townhall itu adalah keperluan untuk menghentikan pemberian dana kerajaan kepada persatuan sukan dan hentikan campur tangan politik.

Syed Saddiq berpendapat, perlu ada titik pertemuan antara semua pemegang taruh dalam bola sepak dengan pihak kementerian dalam pembangunan bola sepak.