“SAYA mahu memulakan karier pengurusan saya di England.”

Demikian kata Dimitar Berbatov, bekas penyerang Bulgaria yang pernah mewarnai kancah Liga Perdana Inggeris sebagai pemain Fulham, Tottenham Hotspurs dan Manchester United satu ketika dahulu.

Berbatov, 37, menyatakan hasratnya itu selepas melihat bekas pemain Norway, Ole Gunnar Solskjaer dilantik sebagai pengurus interim The Red Devils menggantikan Jose Mourinho yang dipecat pada Selasa.

Kata Berbatov kepada Betfair, seperti dirinya, Solskjaer merupakan bekas pemain sebuah kelab besar dan dia mendapat peluang yang diperlukannya.

“Saya teruja kerana saya telah menjadi sebahagian daripada Manchester United, dan satu hari nanti saya mahu menjadi pengurus. Saya juga memerlukan peluang sedemikian.

“Siapa tahu, satu hari nanti mungkin saya menggalas tugas itu di Old Trafford. Saya sedang mendapatkan lencana (kejurulatihan) sekarang dan impian saya tinggi,” katanya.

Ketika ini katanya, dia sedang melawat kelab-kelab bola sepak untuk melihat bagaimana mereka bekerja dan menambah pengetahuan sebaiknya sehingga masa menentukan langkah pertama kariernya dalam kejurulatihan.

Berbatov, yang menjaringkan 49 gol dalam 150 penampilan bersama United turut menyatakan bahawa hatinya sentiasa berada di Liga Perdana Inggeris walaupun selepas meninggalkannya sekian lama.

“Ini matlamat utama saya tetapi kita tidak tahu, mungkin perlu bermula di mana-mana tempat yang lebih kecil dan berusaha mendaki hingga ke puncak,” ujarnya.