DIVISYEN lightweight di UFC sememangnya antara divisyen yang penuh dengan petarung seni bela diri campuran (MMA) yang hebat.

Juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov serta bekas juara dua divisyen, Conor McGregor antara dua nama besar dalam MMA yang bertarung dalam divisyen itu.

Tidak kurang berbahaya ialah petarung dari Amerika Syarikat, Justin Gaethje yang kini menduduki 'ranking' ke-5 dalam divisyen lightweight UFC.

Bercakap kepada ESPN baru-baru ini, Gaethje, 30 tahun, menyatakan hasratnya untuk bertemu McGregor di Octagon untuk pertarungan seterusnya.

"Saya kini berada di kedudukan nombor 5 sekarang. Terdapat empat orang petarung dan seorang juara di hadapan saya.

"Saya sedang mencari salah seorang daripada mereka, dan saya sedang mencari pertarungan yang besar musim panas ini," kata Gaethje.

Menurut Gaethje lagi, dia tidak mahu bertemu dengan petarung yang berada di ranking belakangnya.

"Saya menang secara 'knockout' dua kali berturut-turut sebelum ini. Lawan saya James Vick berada di kedudukan belakang saya. Saya rasa saya layak menerima seseorang di ranking hadapan saya.

"Melihat keadaan sekarang, Conor McGregor berada di ranking ketiga. Kalau bukan dia, saya tidak mempunyai pertarungan lagi buat masa ini. Jadi pertarungan dengan McGregor yang saya mahukan. Jika dia tidak mahu bertarung, keluarkan dia dari kedudukan ranking. Saya ok jika itu berlaku dan kita boleh bergerak kehadapan dari situ," katanya.

Peminat MMA dan UFC pasti teruja jika pertarungan antara Conor McGregor dan Justin Gaethje menjadi realiti.

"Setakat yang saya tahu, dia (McGregor) masih berada dalam ranking, jadi dia patut bertarung.

"McGregor adalah satu-satunya petarung yang berada di ranking hadapan saya yang tidak bertarung. Dia juga perlu kembali bertarung untuk mendapatkan perlawanan merebut kejuaraan," katanya lagi.

Melihat kepada perkembangan divisyen lightweight UFC selepas ini, Khabib akan mempertahanankan kejuaraannya dengan menetang Dustin Poirier.

Tony Ferguson yang menduduki ranking kedua pula akan bertemu dengan petarung diranking ke empat, Donald Cerrone.

Jadi, pertarungan antara McGregor dan Gaethje sememangkan mempunyai asas untuk direalisasikan.

Gaethje mempunyai rekod MMA 17-2, terkenal dengan gaya bertarung yang agresif dan sering kali berjaya memukau penonton setiap kali dia beraksi di Octagon.