PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp, menegaskan beliau tidak gementar dalam usaha menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Skuad bimbingan Klopp berkunjung ke West Ham esok, sehari selepas Manchester City bertemu Arsenal.

Pemenang Bundesliga dua kali bersama Borussia Dortmund, Klopp, berkata beliau tidak gementar dalam persaingan EPL dan mahu pemain-pemainnya kekal fokus.

"Saya bukan seorang yang mudah gementar dan saya tidak gementar ketika memenangi gelaran pertama bersama Dortmund," kata Klopp.

"Pengalaman membuktikan apa yang saya lakukan berhasil. Saya mahu kekal fokus dan tidak memikirkan perkara lain.

Klopp turut menjelaskan mara ke final Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu membuktikan pasukannya mampu menyerap tekanan.

Kali terakhir Liverpool memenangi takhta liga pada 1990, Klopp memahami betapa terdesak pasukan memerlukan kejayaan ini.

"Liverpool hampir melakukannya sejak beberapa musim yang lalu.

"Kejayaan ini amat diperlukan dan kami akan berusaha dengan sebaik mungkin," katanya.