JULIAN NAGELSMANN mendedahkan dia menolak peluang untuk menggantikan Zinedine Zidane di Real Madrid.

Pengurus berusia 31 tahun itu dianggap sebagai jurulatih muda terbaik di Eropah berpandukan kejayaan Hoffenheim layak ke Liga Juara-Juara (UCL) sejak dua musim lalu - satu pencapaian yang mendorong seteru Bundesliga, RB Leipzig, untuk merekrut perkhidmatannya bermula musim 2019.

Nagelsmann akan menghabiskan tahun terakhirnya di Rhein-Neckar-Arena sebelum menyertai Leipzig tetapi ia mungkin menjadi cerita yang jauh berbeza apabila beliau menerima tawaran Madrid berikutan pengunduran Zidane selepas memenangi UCL ketiga berturut-turut.

Pada usia muda, Nagelsmann - walaupun bangga dengan minat dari Santiago Bernabeu - berasakan jawatan besar di luar negara bukanlah langkah yang bijak, dengan Julen Lopetegui mengambil-alih jawatan tersebut yang mendorong pemecatannya daripada tugasan bersama Sepanyol menjelang Piala Dunia 2018.

"Madrid menghubungi saya," kata Nagelsmann kepada 11Freunde.

"Siapa yang akan meletak telefon? Kelab Bola Sepak Alam Semesta tidak wujud, maka tiada lagi kelab yang lebih besar daripada Real Madrid.

"Bagaimanapun, saya baru berusia 31 tahun, saya masih mempunyai peluang yang lain, saya tidak mahu berpindah ke luar negara.

"Jika karier kejurulatihan saya berterusan, saya mungkin mempunyai peluang lain untuk menerajui kelab itu nanti. Selain itu juga ia atas alasan keluarga, tidak sesuai untuk saya ke luar negara.

"Masalah besarnya mengenai manusia adalah kecenderungan untuk memaksimumkan pencapaian. Semuanya mahu lebih daripada jiran anda, untuk mempunyai kereta terbesar, akaun bank terbesar, rumah terbesar. Saya tidak mahu seperti itu," katanya.