Jaguh bina badan negara Sazali Samad dan ratu skuasy negara Datuk Nicol David dinobat olahragawan dan olahragawati kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2013 di Stadium Juara Bukit Kiara, semalam.

Sazali mengenepikan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei di samping Lim Chee Wei (karate), Benjamin Khor Jeng Jie (menembak), Jironi Riduan (olahraga), Ooi Tze Liang (terjun) dan Hon Mun Hua (wushu).

Anggota polis berusia 47 tahun itu dipilih berdasarkan kejayaan mempertahankan gelaran Mr Universe untuk lima tahun berturut-turut dan serta gelaran kesembilannya sekaligus membolehkan beliau membawa pulang sebuah trofi dan hadiah wang tunai RM20,000.

Nicol pula mengenepikan tentangan sengit daripada ratu terjun negara Pandelela Rinong untuk dinobat olahragawati kebangsaan buat kali kesembilan selepas turut menewaskan calon lain seperti Kelly Tan dari sukan golf dan Diana Bong, wushu.

Seperti diramal, skuad hoki Piala Dunia Remaja dan pasangan penerjun negara Pandelela Rinong-Leong Mun Yee muncul pemenang bagi anugerah pasukan lelaki dan wanita kebangsaan terbaik.

Jurulatih hoki negara Muhamad Dharma Raj Abdullah meraih anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan manakala, Ziyad Zolkefli dan Hemala Devi dipilih sebagai pemenang olahragawan dan olahragawati paralimpik kebangsaan.

Anugerah kepimpinan sukan pula diberikan kepada Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dari sukan golf dan anugerah khas diberikan kepada Allahyarham Mohd Nazar Abdul Rahim serta Moe Chin Kiat.