Pemandu Jerman, Sebastian Vettel membuktikan kebangkitan Ferrari apabila menghalang penguasaan Mercedes AMG Petronas untuk merangkul kejuaraan F1 Petronas Grand Prix Malaysia 2015 di Litar Sepang di sini, hari ini.

Vettel, juara dunia empat kali, merangkul kejuaraan pertama bersama Ferrari musim ini selepas menduduki tempat ketiga pada perlumbaan pembuka tirai di Grand Prix Australia di Melbourne, dua minggu lepas.

Pemandu berusia 27 tahun itu mencatat masa terpantas 1'41:05.793s untuk meninggalkan kedua-dua pelumba Mercedes, juara dunia, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg di tempat kedua dan ketiga dalam perlumbaan 56 pusingan itu.

Hamilton, yang memenangi Grand Prix Australia 2015, mencatatkan masa 1'14:14.362s dan Rosberg pula 14:18.103s.

Vettel menjadi pelumba paling banyak menjuarai Grand Prix Malaysia dengan rekod empat kali iaitu tiga ketika bersama Red Bull (2010, 2011 dan 2013) dan 2015 iaitu pertama musim baharu bersama Ferrari.

Kemenangan Vettel itu turut menamatkan kemarau kejuaraan pasukan Ferrari sejak 2013 dengan kemenangan terakhir oleh Fernando Alonso pada pusingan ketiga musim 2013 di Grand Prix China dan pusingan kelima di Grand Prix Sepanyol.