Berita  |  Sukan

Segala masalah dalam FAP akan diselesaikan segera

Segala masalah dalam FAP akan diselesaikan segera
Zainal berkata, pihaknya kini di peringkat akhir menyiapkan senarai pemain sebelum tirai Liga Perdana bermula. - Gambar fail Bernama
GEORGE TOWN: Segala pemasalahan yang berlaku dalam Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) akan diselesaikan segera bagi memastikan kejayaan pasukan Harimau Kumbang musim ini.

Datuk Abdul Rashid Ismail yang kini menjalankan tugas Presiden FAP selepas Zairil Khir Johari melepaskan jawatan itu Oktober lepas, berkata persatuan sedang mencari penaja bagi menyelesaikan sebarang bayaran tertunggak termasuk kepada pemain, sekiranya ada.

"Kami ada beberapa payment yang tidak bayar, yang ditinggalkan tanpa bayaran... jadi kami akan cari jalan untuk selesaikan masalah ini," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Beliau berkata kekosongan beberapa jawatan tertinggi pasukan itu juga dijangka diselesaikan pada Mesyuarat Agung (AGM) 17 Januari ini yang bakal menyaksikan pemilihan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden.
"Tetapi dalam hal ini juga kita perlu persetujuan dan sokongan daripada kerajaan negeri, justeru saya juga akan jumpa Ketua Menteri (Lim Guan Eng) bagi berbincang dan menyelesaikan beberapa masalah," katanya.

Sementara itu Ketua Jurulatih Zainal Abidin Hassan yang diberi peluang untuk terus mengemudi skuad itu musim ini, berkata pihaknya kini di peringkat akhir menyiapkan senarai pemain sebelum tirai Liga Perdana bermula.

Zainal Abidin turut membayangkan untuk membawa pemain import dari Korea bersama pasukan itu selain mempertimbangkan beberapa pemain dari Amerika Syarikat dan Itali.

"Sasaran kami musim ini ialah membawa semula pasukan itu ke Liga Super," katanya.

Pasukan itu kini mempunyai hanya seorang pemain import iaitu Sanna Nyassi dari Gambia.

Pasukan Pulau Pinang turun ke Liga Perdana musim ini apabila menamatkan musim lepas di tangga tercorot Liga Super dengan hanya mengutip 12 mata daripada 22 perlawanan.

Pasukan itu hanya menang tiga perlawanan dan seri tiga perlawanan.

-- BERNAMA