Juara Remaja Dunia yang baharu, Goh Jin Wei mungkin tidak perlu menanti sehingga Sukan Olimpik 2024 di Paris untuk muncul sebagai petanding bagi meraih pingat di temasya sukan utama dunia itu.

Sebaliknya, pemain badminton wanita yang berusia 18 tahun dan bersemangat tinggi itu berhasrat untuk memberikan aksi terbaiknya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti untuk meraih pingat buat negara.

"Segalanya mungkin, saya boleh berjuang untuk Olimpik 2020. Bagi saya masa itu emas, pergi dan berjuang," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini sebaik tiba dari Kanada.

Jin Wei berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei bahawa usia ideal bagi beliau untuk memenangi pingat Sukan Olimpik ialah pada edisi 2024.

Pemain dari Pulau Pinang itu menikmati kejayaan hebat dalam tahun ini apabila memenangi gelaran Juara Dunia Remaja keduanya dengan menewaskan Line Christophersen dari Denmark, 21-13, 21-11 dalam Kejohanan Remaja Dunia, di Markham, Kanada, Ahad lepas (Isnin di Malaysia). Beliau memenangi gelaran juara dunia pertamanya pada 2015.

Bulan lepas, Jin Wei mencipta sejarah dengan memenangi pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik Remaja, di Buenos Aires, Argentina.

"Tahun ini merupakan tahun yang hebat buat saya. Selepas memulakan tahun ini dengan kejohanan peringkat senior, saya mendapat banyak pengalaman untuk digunakan dalam kejohanan remaja," katanya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu berkata, banyak kemajuan ditunjukkan oleh skuad remaja wanita untuk menambah baik keupayaan skuad Piala Uber negara.

Selepas berehat dua hari, Jin Wei akan bersiap sedia untuk beraksi dalam Kejohanan Masters Korea dari 28 Nov hingga 2 Dis, di Gwangju.

Sementara itu, pemenang pingat perak beregu wanita Kejohanan Remaja Dunia , Pearly Tan Koong Le-Toh Ee Wei berharap untuk meneruskan gandingan mereka berdua dalam peringkat senior.

"Kita dah ada keserasian yang baik, kita dah tahu macam mana nak main bersama-sama. Bila saya set di depan, Pearly akan membuat smesy di belakang," kata Toh.

-- BERNAMA