PENGURUS Newcastle United, Rafael Benitez akan meninggalkan kelab itu selepas kontraknya tamat pada 30 Jun.

Benitez mengambil alih kelab tersebut daripada Steve McClaren yang dipecat pada Mac 2016 namun gagal menyelamatkan kelab itu daripada tersingkir ke liga bawahan, ketika musim berbaki 10 perlawanan.

Bagaimana beliau berjaya mengembalikan kelab itu ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam tempoh semusim selepas menjuarai Liga Championship 2016/17.

Musim lepas, Newcastle di bawah Rafa menamatkan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ke-13, namun pengurusan the Magpies gagal mencapai persetujuan untuk melanjutkan kontrak pengurus dari Sepanyol itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kelab itu, usaha untuk melanjutkan kontrak Benitez menemui jalan buntu apabila gagal mencapai persetujuan selepas perbincangan diadakan bersama-sama dengan wakilnya.

Kenyataan itu juga memberitahu usaha mencari pengganti Benitez dimulakan sekarang.


Sebelum ini terdapat laporan bahawa Benitez bakal berhijrah ke Liga Super China, dengan kelab Dalian Yifang menawarkan kontrak bernilai £12 juta (RM63.3 juta) setahun.

Barisan jurulatih bekas pengendali Valencia, Liverpool dan Real Madrid itu, Paco de Miguel Moreno, Antonio Gomez Perez dan Mikel Antia turut meninggalkan kelab itu pada 30 Jun ini.

Terdapat juga khabar angin bahawa pemilik kelab, Mike Ashley sedang mengadakan perbincangan untuk menjual kelab itu kepada jutawan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Khalid bin Zayed Al Nahyan.