Kerajaan Selangor bercadang membina satu litar lumba di tanah seluas 20 ekar di kawasan Sungai Tua, Gombak.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, litar lumba itu akan dibina dengan kaedah Public Private Partnership bagi mengalakkan pembangunan sukan permotoran di negeri itu selain penganjuran acara-acara permotoran di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Baru-baru ini Hafizh Syahrin, pelumba kelahiran Selangor mencatatkan sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama menyertai perlumbaan MotoGP sebaris pelumba handalan dunia Marc Marquez, Valentino Rossi
dan lain-lain lagi.

"Litar lumba ini akan mempunyai kemudahan berkapasiti 1,000 orang penonton dan dilengkapi kemudahan seperti paddock, kafeteria, surau dan gerai jualan.

Litar yang dibina akan dibincangkan bersama Persatuan Automobil Malaysia (AAM) bagi mendapatkan spesifikasi dan pengiktirafan yang membolehkan kejohanan yang besar diadakan di litar ini," katanya semasa ucapan belanjawan Selangor 2019 di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Hafizh berjaya mencapai sasaran untuk menamatkan saingan dalam kelompok 10 pelumba terbaik dalam siri perlumbaan terakhir musim ini di Grand Prix Motosikal (MotoGP) Valencia namun gagal untuk menjadi Rookie (pendatang baharu) Terbaik.

Dalam perlumbaan di Litar Ricardo Tormo itu, Hafizh yang mewakili pasukan Monster Yamaha Tech 3 berjaya menamatkan saingan di kedudukan ke-10 dengan catatan masa 24 minit 40.606s untuk meraih enam mata bagi mengumpul 46 mata secara keseluruhan.

Selain itu, bagi memaksimakan penggunaan jelas Amirudin, litar itu juga boleh digunakan sebagai litar latihan pemanduan bagi jabatan kerajaan seperti JPJ, polis dan bomba.