Selangor merampas kedudukan takhta Liga Super selepas mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas Melaka pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Selangor mengumpul maksimum enam mata daripada dua perlawanan, namun berkelebihan jaringan yang melonjak mereka untuk menghuni tempat teratas liga, mengatasi pasukan Johor Darul Ta'azim (JDT) di tangga kedua.

Pada aksi malam tadi, penyerang dari Sepanyol Rufino Segovia menyumbat dua gol, masing-masing pada minit kelapan dan ke-67 manakala Muhammad Syahmi Safari turut meledak dua gol, minit ke-54 dan ke-90 untuk membantu skuad Gergasi Merah mengekalkan rekod tanpa kalah.

Gol tunggal Melaka dijaringkan pemain import dari Portugal, Tiago Gomes pada minit ke-30.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pasukan tuan rumah Negeri Sembilan meraih kemenangan sulung apabila menundukkan Kuala Lumpur 2-0 untuk mengutip tiga mata berharga.

Jaringan skuad Hobin Jang Hobin disempurnakan penyerang dari Argentina, Nicolas Leandro Velez yang meledak dua gol pada minit ke-11 dan ke-31.

Sementara itu, nasib juara Piala FA 2017, Kedah terus dirundung malang apabila dikecewakan Perak 1-3 pada aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman malam tadi.

Penyerang Perak, Gilmar Jose Da Silva Filho menceriakan skuad 'The Bos Gaurus' apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-21, sementara Mohd Nazrin Nawi, turut mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-86.

Kedah pula memperoleh gol menerusi Sandro Da Silva yang tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-78 setelah Muhammad Akhyar Rashid dijatuhkan dalam kotak penalti.

Hasrat skuad Lang Merah untuk bangkit menyamakan kedudukan terus dinafikan pertahanan Perak, sebaliknya Nazirul Naim Che Hashim berjaya menjaringkan gol ketiga pasukan pelawat pada masa kecederaan babak kedua untuk Perak cemerlang mengutip tiga mata penuh.

Pada aksi di Stadium Shah Alam, pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) FC berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan penyerang kebangsaan, Mohd Safee Mohd Sali pada minit ke-90. -- Bernama